Penyanyi terkenal Amerika Syarikat, Chris Brown, akhirnya dibebaskan dengan jaminan oleh mahkamah di London selepas didakwa melakukan serangan tanpa provokasi di sebuah kelab malam pada tahun 2023.
Menurut laporan, bintang pemenang Grammy itu masih belum diminta untuk mengemukakan sebarang pengakuan terhadap tuduhan tersebut.
Namun begitu, beliau dibenarkan untuk meneruskan jelajah dunia bermula bulan Jun ini seperti yang dirancang. Ia merupakan salah satu syarat jaminan yang diberikan oleh mahkamah.
Walaupun tidak hadir di Mahkamah Southwark Crown, hakim menetapkan bahawa Chris Brown perlu membayar jaminan keselamatan sebanyak £5 juta di mana £4 juta segera, manakala baki £1 juta perlu diselesaikan dalam masa tujuh hari.
Wang jaminan ini bertindak sebagai jaminan kewangan untuk memastikan kehadiran semula tertuduh ke mahkamah. Jika syarat jaminan dilanggar, wang tersebut boleh dirampas.
Chris Brown sebelum ini ditahan selepas didakwa mencederakan seorang penerbit muzik dengan botol tequila di Tape Nightclub, Mayfair, London.
Beliau ditangkap di Salford minggu lalu dan ditahan reman sebelum akhirnya diberi jaminan pada Rabu.
Konsert jelajahnya dijadual bermula di Amsterdam pada 8 Jun, diikuti dengan persembahan di Manchester, London, Cardiff, Birmingham dan Glasgow pada Jun dan Julai nanti. – BOOM!










