Penyanyi dan pelakon terkenal Indonesia, Dewi Sandra meluahkan rasa kecewa selepas gagal menunaikan ibadah haji tahun ini.
Menerusi hantaran di Instagram peribadinya, Dewi memuat naik gambar angka 3 berlatarbelakang putih sebagai simbolik kekecewaannya.
“It’s not about what I want, it never was,” tulisnya.
Difahamkan, kegagalan itu berpunca daripada keputusan kerajaan Arab Saudi yang tidak mengeluarkan visa furoda untuk jemaah Indonesia, visa khas yang membolehkan individu menunaikan haji tanpa perlu menunggu giliran bertahun-tahun.
Dewi Sandra tidak menafikan hatinya remuk kerana tidak dapat menunaikan haji seperti dirancang, namun dia tetap reda dengan ketentuan Ilahi.
“It will always be about what Allah wants dan takdir Allah selalu yang terbaik,” tambahnya lagi.

Meskipun tidak berada secara fizikal di Tanah Suci, Dewi Sandra menyatakan bahawa dirinya tetap hadir secara rohani melalui doa dan rindu mendalam.
Dalam masa sama, beliau turut menitipkan doa agar diberi rezeki menunaikan haji pada tahun 2026.
Untuk rekod, Dewi Sandra pernah menunaikan ibadah haji pada tahun 2019 dan pengalaman itu membuatkan dirinya semakin merindui untuk kembali ke Tanah Suci.
Selain Dewi, beberapa selebriti Indonesia lain turut mengalami nasib sama seperti Wendi Cagur dan isteri, serta Ruben Onsu. – BOOM!










