Filem adaptasi permainan video, A Minecraft Movie, mencipta sejarah di pawagam Amerika apabila berjaya meraih kutipan mencecah $157 juta dalam minggu pertama tayangan!
Dengan kutipan luar biasa itu, filem ini berjaya mengatasi The Super Mario Bros Movie yang sebelum ini memegang takhta kutipan tertinggi dalam kategori filem adaptasi permainan video, iaitu $146 juta.
“A Minecraft Movie bukan saja debut terbesar tahun 2025, malah menjadi pembukaan paling berjaya dalam sejarah adaptasi permainan video,” lapor Variety.
Filem arahan Jared Hess ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Jason Momoa sebagai Garrett “The Garbage Man” Garrison, Sebastian Eugene Hansen (Henry), Emma Myers (Natalie) dan Danielle Brooks (Dawn).
Mengisahkan tentang empat individu yang tiba-tiba tersedut masuk ke dunia Minecraft, dikenali sebagai Overworld, mereka perlu bekerjasama untuk bertahan hidup dan mencari jalan pulang dari dunia blok misteri itu.
Skrip ditulis oleh Chris Bowman, Hubbel Palmer, dan Neil Widener, dan jelas sekali formula aksi, humor serta elemen popular permainan itu berjaya memikat hati penonton.
Dengan pencapaian ini, A Minecraft Movie secara rasmi menjadi filem pembukaan terbesar 2025 dan raja baharu filem adaptasi permainan video. – BOOM!