Seramai 21 orang anak yatim dan asnaf dari Rumah Bakti Nur Ain, Bangi diraikan dalam program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anjuran Yayasan KRU di Wetland Studios Putrajaya (WSP) pada 14 Jun lalu.
Kanak-kanak berusia antara 5 hingga 17 tahun itu diiringi dua guru pengiring dan berpeluang menikmati pelbagai aktiviti pembelajaran dan hiburan dalam suasana interaktif di taman tema edutainment bertaraf antarabangsa itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan KRU, Dato’ Norman Abdul Halim berkata, program tersebut bertujuan memberi ruang kepada kanak-kanak kurang berkemampuan merasai pengalaman istimewa yang menggabungkan elemen hiburan, pendidikan dan alam sekitar.
“Kami mahu mereka rasa dihargai dan diberi peluang menikmati pengalaman yang tak semua mampu nikmati.
Ini sebahagian usaha kecil kami untuk berkongsi kegembiraan dan ilmu,” katanya ketika ditemui BOOM!
Dato’ Norman turut mengajak lebih banyak pihak sama ada syarikat mahupun individu untuk menyokong penganjuran program sebegini demi manfaat golongan yang memerlukan.

“Kami alu-alukan kerjasama bagi menyantuni lebih ramai anak-anak kurang bernasib baik.
Semoga usaha ini dapat diteruskan dan diperluaskan,” ujarnya.
Program ini turut menggambarkan komitmen Yayasan KRU dalam menyokong pembangunan sosial serta mendidik masyarakat menerusi pendekatan hiburan berilmu dan pemeliharaan alam sekitar. – BOOM!








