Pendakwah selebriti, Da’i Syed diperintahkan ke penjara selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun berserta tiga sebatan bagi kes rogol membabitkan seorang wanita tujuh tahun lalu.

Hakim Adlin Abdul Majid membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Syed Shah Iqmal, 31, untuk mengetepikan sabitan dan menangguhkan hukuman.
“Keterangan tertuduh bersifat penafian semata-mata dan tiada alasan khas bagi menangguhkan hukuman itu.
“Ia kesalahan yang serius dan sabitan serta hukuman dikenakan sebelum ini adalah selamat, justeru hukuman penjara itu bermula hari ini,” katanya dipetik BH Online.
Pada 30 Ogos 2024, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhi Syed Shah Iqmal hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas pertuduhan merogol wanita terbabit.

Sebelum itu, pada 10 Disember 2020, tertuduh, 31, mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol mangsa yang ketika itu berusia 23 tahun di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, pada 11 September 2019 jam 1.35 pagi.

Bagi pertuduhan berkenaan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan berkenaan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Mahkamah Tinggi sama memerintahkan Syed Shah Iqmal membela diri atas pertuduhan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan. – BOOM!









