Berbasikal dalam cuaca panas ekstrem bukan perkara mudah. Itulah cabaran yang sedang dihadapi pelakon Amar Baharin, 40, bersama Datuk Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin yang kini memasuki hari ke-18 misi kayuhan ke Tanah Suci Mekah.
Menurut Amar, suhu mencecah 51 darjah Celsius ketika mereka mengayuh sejauh 110 kilometer dari Dubai ke Abu Dhabi memberi kesan besar kepada tubuhnya.

“Cuaca terlalu panas untuk perjalanan kami dari Dubai ke Abu Dhabi hari ini mencecah 51 darjah Celsius.
Alhamdulillah selesai 110 kilometer kayuhan untuk hari ini cuma keadaan badan agak sedikit lemah,” tulis Amar di Instagram.
Disebabkan cuaca melampau itu, Amar mengakui perlu berehat lebih lama bagi memulihkan tenaga sebelum meneruskan perjalanan.
Dalam hantaran yang turut memaparkan suasana perjalanan mereka, Amar tidak dapat menyembunyikan kerinduan terhadap keluarganya.

“Kami perlukan masa untuk pulih menghadapi cuaca melampau di Tanah Arab.
Doakan perjalanan kami Allah permudahkan. Rindu isteri dan anak-anak,” luahnya, merujuk kepada pelakon Amyra Rosli dan dua anak mereka.
Rakan artis dan peminat turut membanjiri ruangan komen dengan kata-kata semangat dan doa agar Amar dan pasukannya kekal kuat hingga ke destinasi.
Sebagai info, misi kayuhan mereka bermula pada 28 April lalu dari Perlis ke Thailand, sebelum menaiki penerbangan ke Iran.
Mereka tidak melalui laluan darat India dan Pakistan atas nasihat keselamatan, dan dijangka tiba di Madinah pada Julai depan. – BOOM!










