Pelakon terkenal, Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta didakwa masih mempunyai baki hutang tertunggak berjumlah RM443,392 dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menafikan dakwaan Che Ta sebelum ini yang mengatakan dia telah menjelaskan semua hutang perniagaannya yang hampir mencecah RM1 juta.
Menurut Asyraf Wajdi, sehingga 18 Februari lalu, Che Ta telah membuat bayaran sebanyak RM689,307.59, termasuk kira-kira RM150,000 secara tunai di pejabat MARA, sementara bakinya dilakukan melalui transaksi dalam talian.
“Rozita belum selesai melangsaikan hutangnya. Baki RM443,392 perlu dibayar sebelum 31 Mac ini. Dakwaan bahawa semua hutangnya sudah dijelaskan adalah tidak benar,” katanya.
Tegasnya lagi, MARA tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, termasuk selebriti atau golongan ternama, dalam isu bayaran balik pinjaman.
“Wang pinjaman ini adalah duit rakyat dan boleh digunakan untuk membantu lebih ramai pelajar dan usahawan lain yang memerlukan,” tambahnya.
Difahamkan, bayaran yang dibuat Che Ta sebelum ini adalah bagi menangguhkan tindakan mahkamah yang berkemungkinan menyebabkan hartanya dilelong dan berdepan status kebankrapan.
Sebagai info, pada 10 Disember tahun lalu, kediaman Che Ta di Kota Damansara, Petaling Jaya, telah diserbu oleh pegawai MARA bersama wakil mahkamah susulan kegagalan melunaskan pinjaman yang dibuat pada 2017.
MARA kini memberi tempoh sehingga akhir Mac untuk Che Ta menyelesaikan baki hutangnya sepenuhnya sebelum tindakan tegas diambil. – BOOM!
Sumber: Berita Harian