Bulan Sutena, penyanyi muda berbakat dari Bali yang semakin bersinar di media sosial seperti TikTok dan Instagram, bakal melancarkan single terbarunya bertajuk “Susah Abang” pada 14 Mei 2025.
Menariknya, video klip lagu ini yang dirakam pada April lalu di Pantai Camara, Tanjung Lesung, Banten, Jawa Barat, bukan sahaja memaparkan kisah cinta yang rumit, tetapi turut menyaksikan pengorbanan Bulan sendiri apabila kulitnya ‘sunburn’ akibat penggambaran selama dua hari di bawah panas terik matahari.

“Tapi demi karya yang menarik dan bagus, saya tak rasa itu satu masalah besar,” ujar Bulan dengan nada positif.
Dalam klip video yang memukau dengan kostum cantik dan latar pantai yang menawan, Bulan membawakan lagu berirama catchy dan mudah didengar, sesuai untuk semua peringkat umur.
Lagu ini dijangka bakal menjadi tular di media sosial, seperti mana karya-karya beliau sebelum ini.
Walaupun pernah berdepan dengan isu-isu negatif di media, Bulan kekal tenang dan berfikiran terbuka.
“Saya selalu berfikir positif dan tak hiraukan perkara begitu.
Saya juga harap tiada lagi orang yang guna teknologi AI untuk edit gambar saya untuk tujuan tak baik,” ujarnya.
Bulan Sutena terus membuktikan bahawa bakat dan dedikasinya dalam dunia seni bukan sekadar untuk populariti semata, malah demi menyampaikan karya yang tulen dan menyentuh hati. – BOOM!










