Bruno Mars mengumumkan bahawa album solonya yang terbaru telah siap, hampir sepuluh tahun sejak keluaran terakhir, 24K Magic.

Beliau berkongsi berita gembira itu kepada peminat di aplikasi X.
“Album saya sudah siap,” katanya.

Sebelum ini, album 24K Magic (LP) membolot enam trofi pada Anugerah Grammy 2018. Album diterbitkan pada 2016 itu mengetengahkan lagu popular seperti That’s What I Like dan 24K Magic.

Selain itu, kerjasama Bruno bersama Rose Blackpink dalam lagu APT turut menjadi fenomena global.
Lagu itu mencatat kejayaan luar biasa apabila mencapai kedudukan nombor 1 global dan menjadi lagu pertama artis K-pop yang muncul dalam carta Pop Airplay Billboard.

Sehingga 27 November, APT mencatat hampir 4.9 bilion strim rasmi di seluruh dunia, menunjukkan permintaan tinggi dan populariti luar biasa lagu tersebut di kalangan peminat muzik global. -Boom!









