Penyanyi pop terkenal dunia, Britney Spears, dilaporkan mengalami kecederaan lutut selepas terjatuh teruk di tangga ketika berada di rumah seorang rakan baru-baru ini. Dalam satu video yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya, Britney dilihat memakai pembalut lutut kanan sambil menjelaskan bahawa lututnya “kadang-kadang terkehel sendiri”. Walaupun mengalami kesakitan, penyanyi berusia 43 tahun itu tetap menunjukkan semangat luar biasa apabila terus menari dan tersenyum di hadapan kamera.

Beliau turut menulis bahawa tarian membantunya menyalurkan emosi dan sembuh secara perlahan tanpa perlu meraih simpati orang ramai. Peminatnya meluahkan rasa risau, namun kagum dengan ketabahannya. Difahamkan, ini bukan kali pertama Britney mengalami masalah pada lutut kerana dia pernah cedera pada tahun 2004 semasa penggambaran video muzik “Outrageous”, yang menyebabkan penggambaran tersebut terpaksa dihentikan.

Penyanyi itu dikatakan terus bersemangat untuk menghiburkan peminatnya walaupun dia telah lama tidak berkecimpung dalam industri muzik. – BOOM!










