Penyanyi pop Britney Spears kembali aktif di Instagram selepas seminggu hilang dari ‘radar’ dunia hiburan.

Beliau memuat naik satu hantaran baharu yang menarik perhatian ramai lengkap dengan kapsyen reflektif mengenai kehidupannya sepanjang tahun ini.
“Begitu banyak yang telah berlaku tahun ini, ia gila. Saya cuba untuk hidup mengikut kemampuan saya dan buku, Draw the Circle adalah perspektif yang luar biasa. Tetapkan sempadan sendiri. Ia seperti doa, tapi dengan kemungkinan yang tidak berkesudahan dalam hidup, adalah penting untuk menjadi diri sendiri,” katanya.

Untuk rekod, Britney kini berdepan konflik dengan bekas suaminya, Kevin Federline, yang baru menerbitkan memoir mengenai kehidupan mereka. Peminat berharap penyanyi berusia 43 tahun itu diberi ruang untuk mencari ketenangan dan kekal kuat selepas pelbagai cabaran hidup.

Tindakan itu menandakan kemunculan semula Britney selepas mengambil masa untuk menjauhkan diri daripada tekanan media dan perhatian awam. –Boom!










