Watak ikonik Brian O’Conner mungkin akan muncul semula dalam filem penutup francais Fast & Furious yang ke-11, menurut pelakon utama Vin Diesel.
Ketika hadir di acara Fuel Fest di Pomona, California yang dianjurkan oleh adik mendiang Paul Walker, Cody Walker, Vin Diesel berkongsi perkembangan terbaru dengan para peminat.
“Saya baru saja bersama Universal Studios semalam…
Mereka tanya saya, ‘Vin, boleh tak kita buat filem terakhir Fast & Furious pada April 2027?’” kongsi Diesel.
Diesel kemudian meletakkan tiga syarat kepada pihak studio.
“Pertama, kami kembali ke L.A.
Kedua, kembali kepada budaya kereta iaitu perlumbaan jalanan.
Ketiga, Dom dan Brian harus bersatu semula.
Itu yang anda akan dapat dalam penutup ini,” jelasnya.
Ini dijangka akan mengundang emosi dalam kalangan peminat di seluruh dunia.
Sebagai info, Paul Walker meninggal dunia secara tragis dalam kemalangan jalan raya pada November 2013 ketika penggambaran Fast & Furious 7 masih berjalan.
Wataknya diberi penghormatan dengan gabungan CGI dan bantuan daripada dua adiknya, Cody dan Caleb Walker yang menjadikan babak perpisahan Brian dan Dom antara paling menyentuh hati dalam sejarah filem.
Selepas filem Fast X yang ditayangkan pada Mei 2023 menampilkan barisan bintang besar seperti Jason Momoa, Brie Larson dan Michelle Rodriguez, kini peminat bersedia untuk perpisahan paling epik dalam sejarah francais ini. – BOOM!










