Pelakon siri popular The Walking Dead, Kelley Mack dilaporkan meninggal dunia pada usia 33 tahun akibat sejenis kanser otak agresif, diffuse midline glioma, pada 2 Ogos lalu.
Berita duka itu dikongsikan ahli keluarga tiga hari selepas pemergiannya menerusi satu kenyataan di media sosial.
“Kehilangan ini sangat perit untuk digambarkan.
Kelley pergi dengan tenang, dikelilingi insan-insan tersayang.
Beliau adalah cahaya dalam hidup kami dan akan sentiasa dirindui,” ujar mereka.
Kelley atau nama sebenarnya Kelley Lynne Klebenow, disahkan menghidap kanser selepas mengalami sakit belakang berpanjangan sejak Januari lalu.
Menerusi hantaran terdahulu, Mack mendedahkan bahawa dia kehilangan fungsi kaki kanan dan sebahagian besar kaki kiri selepas menjalani biopsi di bahagian tulang belakang.
“Sekarang saya hanya boleh berjalan menggunakan alat bantu atau kerusi roda.
Tapi saya tetap bersyukur dikelilingi keluarga dan pasangan yang penuh kasih sayang,” tulisnya.
Mack dikenali menerusi wataknya sebagai Addy, seorang remaja dari Koloni Hilltop dalam musim kesembilan The Walking Dead.
Walaupun hanya muncul dalam lima episod (2018-2019), wataknya meninggalkan impak besar kepada peminat setia siri pasca-apokalips itu. – BOOM!









