Penyanyi Billie Eilish, menitiskan air mata apabila memulakan jelajah dunia pertamanya tanpa abang dan kolaborator tersayang, Finneas O’Connell.

Perkara itu didedahkan dalam teaser filem konsert Hit Me Hard and Soft: The Tour (Live in 3D) yang dikeluarkan, 10 Disember lalu.
Billie, 23, berkongsi detik menyentuh hati selepas menerima nota daripada O’Connell sebelum memulakan jelajah 106 persembahan pada September 2024.
“Selama hampir 7 tahun, saya telah menemani awak jelajah dunia. Tiada siapa yang mampu lakukan seperti awak. Semoga berjaya malam ini, tapi awak tak perlukan itu. Tak sabar nak jumpa awak nanti. Kasih sayang, Pinch,” tulis O’Connell, membuatkan Billie menitiskan air mata.

Trailer itu juga memaparkan detik mengejut apabila O’Connell, 28, muncul di atas pentas Co-op Live, Manchester.
Ia memaparkan Billie terus bangun dari keyboard dan memeluk abangnya dengan senyuman lebar.
Dia juga berpesan kepada peminat bahawa akan sentiasa berdiri berjuang untuk abangnya.

Sebelum ini, O’Connell sentiasa mengiringi Billie di pentas, tetapi tahun itu sibuk dengan album solonya For Cryin’ Out Loud! serta projek bersama Ashe, The Favors.
Filem berkenaan diarahkan Billie bersama pengarah terkenal, James Cameron.

Selain persembahan hits seperti The Greatest, Bury a Friend dan Bad Guy, trailer menyingkap detik di belakang pentas, termasuk momen Billie berinteraksi dengan peminat.
Hit Me Hard and Soft: The Tour (Live in 3D) akan ditayangkan di pawagam mulai 20 Mac 2026. -Boom!










