Penyanyi dan ketua kumpulan BIGBANG, G‑Dragon mengejutkan peminat apabila mengumumkan bahawa kumpulan itu akan kembali ke pentas muzik pada tahun 2026 sempena ulang tahun ke‑20 debut mereka.

Pengumuman itu dibuat semasa perjumpaan solo bersama peminat fan yang pertama di KSPO Dome, Seoul, baru‑baru ini yang menarik ribuan peminat dari pelbagai generasi.
“BIGBANG akan membuat comeback ulang tahun ke‑20 pada tahun ini. Sebagai ahli dan peminat, saya juga sangat menantikannya.
“Saya percaya semua ahli yang lain turut merasakan perkara yang sama,” katanya dipetik Allkpop.

Dia turut menggunakan frasa “laluan bunga” merujuk kepada lagu popular kumpulan itu, sambil mengajak peminat berehat seketika sebelum kemunculan semula yang dinanti-nantikan.

Perjumpaan peminat selama tiga hari itu menarik lebih kurang 40,000 peminat bermula dari remaja yang baru mula mengikuti G‑Dragon sehingga penyokong lama yang membesar bersama BIGBANG pada era kegemilangan mereka.

G-Dragon berkata, suasana pertemuan itu dirasakan seperti pertemuan semula keluarga yang hangat dan penuh nostalgia.
“Saya ingin mengadakan satu pertemuan seperti perjumpaan keluarga untuk mereka yang tidak dapat menyertai jelajah tersebut. Ia terasa seperti impian yang menjadi kenyataan dan ia lebih menyeronokkan kerana kita bersama-sama. Saya sayang kamu,” katanya.

Bulan lalu, beliau pernah menimbulkan bayangan kemunculan semula pada beberapa acara termasuk ketika menerima anugerah Lagu Digital Terbaik Tahun Ini di Golden Disc Awards di Taipei bersama Taeyang dan Daesung.- BOOM!










