Penerbit muzik terkenal, Benny Blanco mengakui jatuh cinta sepenuhnya dengan Selena Gomez sejak detik pertama mereka bercium. Tanpa ragu, Benny berkata dia sudah membayangkan masa depan bersama penyanyi jelita itu.
“Selepas kami bercium, saya yakin akan memiliki anak bersama wanita ini,” ujar Benny, 37, penuh yakin.
Kisah manis mereka dikongsi ketika sesi temu bual bagi mempromosikan album terbaharu Benny berjudul ‘I Said I Love You First‘.
Menurut pasangan ini, keserasian antara mereka mula terasa sejak pertemuan pertama sebelum akhirnya serius menjalinkan hubungan cinta. Selepas setahun bercinta, mereka mengumumkan pertunangan pada Disember lalu.
Lebih menarik, Benny mendedahkan album terbaharunya itu banyak terinspirasi daripada kisah cinta mereka.
“Apa sahaja yang dia (Selena) cakap saya akan tulis. Ada ketika dia bercakap sesuatu yang penting namun mungkin tidak disedari. Saya akan buka telefon untuk menulis kerana merasakan ia bagus sebagai lirik,” kongsinya.
Jelas Benny, kata-kata manis dan spontan daripada Selena Gomez kini menjadi bait indah dalam lagu-lagu ciptaannya — simbolik cinta mereka yang penuh makna. – BOOM!