Bekas bintang Nickelodeon, Tylor Chase, yang terkenal melalui siri Ned’s Declassified School Survival Guide, didakwa kini hidup sebagai gelandangan di California.

Perkembangan mengejutkan itu terbongkar selepas beberapa rakaman video tular di media sosial memaparkan Tylor, 36, berada di jalanan dalam keadaan tidak terurus.
Beberapa sumber mendedahkan dia mengalami masalah kesihatan mental termasuk gangguan bipolar, selain tekanan kewangan yang berpanjangan selepas tidak aktif dalam dunia lakonan.

Sebelum ini, turut dilaporkan usaha membantu pelakon berkenaan bermula susulan pelancaran kempen kutipan dana oleh seorang individu di media sosial.
Bagaimanapun, inisiatif itu tidak berpanjangan apabila ibunya tampil menghentikan kempen tersebut sambil menjelaskan bahawa Tylor memerlukan rawatan perubatan serta sokongan kesihatan mental yang berterusan, bukannya bantuan kewangan bersifat sementara.

Pada masa sama, rakan-rakan artis yang pernah bergandingan dengannya dalam siri berkenaan turut meluahkan rasa terkejut dan simpati terhadap situasi yang dihadapi Tylor.

Mereka menyifatkan perkara itu sebagai kompleks dan memerlukan pendekatan lebih teliti, selain menegaskan bahawa bentuk bantuan paling berkesan tidak semestinya bergantung kepada sokongan kewangan semata-mata. -Boom!










