Bersempena sambutan bulan kemerdekaan, penyanyi rap dan penulis lirik tempatan, Balan Kash, tampil dengan buah tangan baharu iaitu video muzik rasmi Cekap terbitan Balan Kash Entertainment.
Menariknya, karya ini bukan sekadar memperlihatkan sisi versatil Balan Kash, malah sarat dengan mesej identiti dan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia.
Lebih manis, penyanyi ini baru sahaja dicalonkan dalam kategori “Lagu Hip-Hop Terbaik” di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) menerusi dua lagunya, menambahkan lagi pencapaian gemilang dalam kerjaya muzik.
Lagu Cekap yang turut menjadi judul album penuh pertamanya dalam bahasa Melayu menampilkan gabungan hip-hop moden, muzik klasik India dan nuansa tradisional Malaysia.
Menurut Balan Kash, Cekap adalah cerminan semangat Malaysia yang dibawanya sejak kecil, hasil pengalaman membesar di Klang dalam komuniti berbilang bangsa yang penuh warna-warni.

MV rasmi Cekap kini boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Balan Kash, menampilkan gabungan visual hip-hop, tradisi dan simbol perpaduan Malaysia yang penuh makna. – BOOM!









