Kehamilan sepatutnya menjadi saat paling indah buat seorang ibu, namun bagi Aurel Hermansyah, pengalaman itu meninggalkan luka mendalam. Isteri kepada Atta Halilintar ini mengaku trauma untuk hamil lagi selepas menerima pelbagai kecaman mengenai perubahan fizikalnya daripada netizen.
Ketika menghadiri Kajian Breastfeeding Fest 2025 di Jakarta Selatan pada 8 Mac lalu, Aurel mendedahkan bahawa komen negatif yang diterimanya sepanjang kehamilan telah memberi kesan besar kepada kesihatan mentalnya.
“Saya kerap disebut gemuk, nampak tua… padahal saya fokus menyusukan anak dan belum boleh diet,” luah Aurel yang merasa sangat tertekan dengan kritikan warganet.
Lebih menyedihkan, tekanan itu membuatnya terfikir untuk tidak lagi hamil di masa depan.
“Kerana kata-kata yang begitu menyakitkan, saya jadi berpikir, kayaknya saya enggak mau hamil lagi deh,” katanya dengan nada sayu.
Dalam sesi tersebut, Aurel sempat meminta nasihat daripada Ustaz Hilman Fauzi mengenai cara mengatasi trauma akibat kecaman netizen. Ustaz Hilman menasihatkan Aurel untuk mengurangkan penggunaan media sosial agar dapat memberi tumpuan kepada kebahagiaannya sendiri.
“Mom Aurel perlu berehat seketika dari media sosial supaya tak terpengaruh dengan komen negatif dan terus yakin sebagai seorang ibu,” ujar Ustaz Hilman.
Walaupun mengalami trauma mendalam, Aurel kini berusaha untuk bangkit dan kembali yakin.
Dengan sokongan keluarga serta nasihat yang diterimanya, dia berharap dapat mengatasi ketakutannya dan fokus kepada kebahagiaan bersama anak dan suami. – BOOM!