Pada 16 Ogos 2025 ini, dua nama besar dalam dunia muzik tempatan, Atilia Haron dan ibunya, Salamiah Hassan, bakal berkongsi pentas utama buat pertama kalinya dalam “Konsert Gelombang Bahagiaku” anjuran Mujik Wand Production di Plenary Theatre, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Lebih daripada sekadar persembahan, konsert ini membawa tema kasih ibu dan anak yang bersatu dalam irama dan jiwa seni.

“This is a dream come true for me!
Sejak kecil, saya teringin menjadi seperti ibu saya. Peluang dapat berkongsi pentas yang hebat bersama beliau membuatkan saya rasa seperti gadis paling bertuah di dunia!” ujar Atilia.
Istimewanya, penonton bakal menyaksikan duet pertama mereka menerusi lagu baharu “Age Is Just A Number”, yang mengangkat mesej kehidupan, kematangan dan keberanian menjadi diri sendiri tanpa mengira usia.

“Saya sangat teruja. Walaupun cara nyanyian kami berbeza, saya percaya ia akan menjadi gabungan yang cukup istimewa buat para penonton,” ujar Salamiah.
Salamiah turut meraikan ulang tahun ke-55 dalam dunia seni, menjadikan konsert ini lebih bermakna sebagai simbol cinta dan penghargaan antara dua generasi seni tanah air.
Walaupun perjalanan menuju konsert ini tidak mudah, Atilia dan ibunya gigih merealisasikan impian dengan bantuan sahabat dan rakan seperjuangan.
“Sudah tentu ada cabarannya… This concert had to be done. Kami buat apa yang perlu sahaja dengan sokongan rakan-rakan,” tambah Atilia.

“Konsert Gelombang Bahagiaku” dijangka menjadi malam penuh emosi, kenangan dan muzik yang menyentuh hati serta hadiah istimewa buat pencinta seni dan keluarga.
Maklumat Tiket
Tiket-tiket ke “Konsert Gelombang Bahagiaku” mula dijual pada 13 Mei 2025 jam 10:00 pagi.
Kategori tiket:
- Platinum – RM350
- Gold – RM250
- Silver – RM150
Pembelian tiket boleh dilakukan di laman web ticket2u.com.my/event/43440. – BOOM!










