Personaliti media sosial, Athalia, memilih untuk berdiam diri walaupun terus diasak soalan berkaitan dakwaan diganggu oleh suami kepada seorang selebriti popular.

Athalia menjelaskan tindakannya bukan kerana takut atau enggan mendedahkan identiti individu terbabit, sebaliknya situasi itu terlalu mengelirukan dan mengecewakan.
“Minggu saya dipenuhi dengan orang bertanya siapakah orangnya dan saya cuba sedaya upaya untuk tidak membocorkan siapa individu itu,” katanya di Threads.

Athalia terkejut kerana individu terbabit datang daripada keluarga yang amat dikenalinya dan dipercayai sejak sekian lama.
“Bukan kerana saya tak mahu bercerita atau mendedahkan mereka, tetapi situasi ini mengejutkan kerana saya sangat rapat dengan keseluruhan keluarga mereka,” katanya.

Athalia turut meluahkan rasa jijik dan terganggu dengan perlakuan lelaki berkenaan.
“Saya juga boleh dianggap seperti anak mereka sendiri, dan itu sangat menjijikkan serta menyeramkan,” katanya.

Terdahulu, ibu Athalia, Sharifah Zarina, turut memberi amaran keras kepada lelaki tersebut supaya tidak mendekati anaknya.
“Allahu Akhbar, berani sungguh. Jangan nanti terkantoi dengan isteri awak yang juga selebriti terkenal. Lepas itu nanti kata anak saya pula yang menggatal,” tegasnya. -Boom!










