Artisans baru saja diperkenalkan kepada umum sebagai sebuah komuniti yang menumpukan pada filem artistik dan penceritaan berani serta tidak konvensional.
Ia turut mempunyai matlamat yang jelas untuk menarik minat serta sokongan penggemar filem tempatan, sekali gus membawa hasil karya ke pentas festival filem antarabangsa.
Artis serba boleh, Dato’ Norman Abdul Halim menyatakan harapannya agar Artisans dapat membuka ruang kepada karyawan baharu termasuk pengarah, pelakon dan kru penerbitan untuk menghasilkan filem bermutu tinggi.
“Saya berharap Artisans dapat menyediakan platform di mana semua saling menyokong antara satu sama lain demi mencapai matlamat dan kepentingan bersama,” jelasnya.
Seiring dengan semangat tersebut, layar perak bakal menyaksikan kemunculan filem sulung arahan pelakon terkenal Zul Huzaimy berjudul 3 Hajat.
Filem yang menampilkan gandingan mantap Eman Manan dan Amerul Affendi ini dijadualkan menggegarkan pawagam seluruh negara mulai 2 Oktober 2025.

Artisans diharap dapat menyemarakkan lagi penghasilan filem tempatan dan memberi ruang untuk eksperimen, suara baru dan karya yang lebih berani di layar perak dan pentas antarabangsa. – BOOM!










