Acara kustom dan gaya hidup automotif paling berprestij, Art Of Speed (AOS) 2025, kembali menghangatkan MAEPS Serdang pada 26 dan 27 Julai lalu dengan kehadiran ribuan pengunjung dari seluruh negara.
Edisi ke-14 ini terus setia dengan identitinya, mempersembahkan pelbagai jentera ubah suai unik dari dalam dan luar negara.

Suasana begitu meriah dengan kehadiran tetamu antarabangsa, menambah aura global pada acara tahunan ini.
Salah satu tarikan utama ialah program “Beetle Battle” yang diketuai Denny Kusumah dari Volkswagen Beetle Club Indonesia.
Deretan Beetle dari negara jiran bukan saja mengujakan, malah menyemarakkan semangat persaudaraan automotif serantau.
Turut mencuri perhatian ialah Hot Wheels Collectors Convention Malaysia (HWCCM) yang kembali untuk tahun ketiga di Dewan C.
Pelbagai aktiviti diadakan termasuk Pameran Rare & Collectibles, Swap Buy & Sell Hot Wheels, serta Pertandingan Custom Hot Wheels.

Istimewanya, pereka Hot Wheels, Brendon Vetuskey, turut hadir dan melancarkan pasangan kereta konvensyen pertama Asia Tenggara yang menghadap kiri dan kanan.
Konsert SoundCircus Takeover di Dewan A pula menggamatkan suasana dengan persembahan bertenaga daripada Noh Salleh & Restore Iboe, Romantic Echoes, Ruffedge, Luqman Podolski, Sabda Alam, Fugo, Iqbal M, Budak Nakal Hujung Simpang, Chronicalz, 53 Universe, Langkawi Dub Club SoundSystem, Mai Tummada serta ramai lagi.
Sebagai kemuncak, pemenang kategori Best of Show kereta dan motosikal menerima hadiah eksklusif iaitu pakej perjalanan ke MOONEYES Yokohama Hot Rod ke-33 di Jepun sebagai Tetamu Kehormat.
AOS 2025 sekali lagi membuktikan kedudukannya sebagai nadi budaya kustom tanah air yang terus hidup dan berkembang. – BOOM!









