Ikon Hollywood Tommy Lee Jones berdepan detik dukacita pada awal tahun baru selepas anak perempuannya, Victoria Kafka Jones, ditemukan mati di sebuah hotel mewah di California.

Victoria, 34, ditemukan tidak bernyawa di Fairmont San Francisco semalam selepas pegawai bomba menerima panggilan kecemasan awal pagi di hotel tersebut.
TMZ melaporkan, mendiang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas paramedik tiba sekitar 2.52 pagi.

Polis San Francisco yang tiba kemudian menyerahkan kes kepada pemeriksa perubatan untuk siasatan lanjut.
Bagaimanapun, ketika laporan ini ditulis, punca kematian masih belum diketahui dan pihak berkuasa belum mengeluarkan kenyataan rasmi.

Victoria adalah anak kepada pelakon Tommy Lee Jones dan bekas isterinya, Kimberlea Cloughley.
Sejak kecil, beliau mengikuti jejak bapaknya dalam dunia lakonan dengan muncul dalam beberapa filem dan siri televisyen terkenal seperti Men in Black II dan One Tree Hill, serta filem yang diarahkan oleh bapanya sendiri, The Three Burials of Melquiades Estrada.

Sejak dewasa, Victoria kurang aktif dalam dunia hiburan dan lebih memilih kehidupan peribadi, namun berita kematiannya mengejutkan ramai peminat serta komuniti Hollywood. -Boom!









