Victoria Jones, anak perempuan kepada pelakon terkenal Hollywood Tommy Lee Jones, dilaporkan berdepan beberapa isu undang-undang sebelum ditemui mati di sebuah hotel mewah di San Francisco pada awal Januari lalu.

Victoria, 34, pernah didakwa atas kesalahan mabuk di tempat awam dan menentang pegawai ketika ditahan. Kes terbabit masih dalam proses perbicaraan ketika insiden tragis itu berlaku.

Dalam kejadian itu, beliau ditemui tidak sedarkan diri di dalam bilik Fairmont Hotel selepas pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan sekitar jam 2.50 pagi. Paramedik yang tiba di lokasi mengesahkan Victoria telah meninggal dunia di tempat kejadian.

Laporan awal menyatakan punca kematian disyaki atas sebab pengambilan dadah berlebihan, namun punca kematian rasmi masih belum diumumkan.
Difahamkan, Victoria sebelum ini turut berdepan beberapa pertuduhan berkaitan penyalahgunaan bahan terlarang sepanjang tahun lalu dan pernah ditawarkan program pemulihan sebagai sebahagian penyelesaian kes, lapor TMZ.

Keluarga Jones meminta orang ramai menghormati privasi mereka ketika siasatan masih dijalankan. Tragedi ini sekali lagi mencetuskan perbincangan mengenai isu kesihatan mental dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan individu muda. -Boom!









