Anak pengarah dan pelakon terkenal Rob Reiner dan isterinya Michelle Singer Reiner, iaitu Nick Reiner, ditahan pihak berkuasa Los Angeles atas tuduhan membunuh kedua ibu bapanya di kediaman mereka di Brentwood, California.

Menurut kenyataan Jabatan Polis Los Angeles (LAPD), mayat Rob dan Michelle ditemui pada petang 13 Disember lalu dengan kesan tikaman berulang kali.
Nick, 32, seorang penulis skrip ditahan sekitar jam 9.15 malam tanpa jaminan sementara siasatan dijalankan.

Polis juga mendapati bahawa Nick pernah bergaduh dengan bapanya sehari sebelum kejadian di sebuah parti percutian mereka hadiri.
Ketua Polis LAPD, Jim McDonnell, mengesahkan kes itu diklasifikasikan sebagai siasatan pembunuhan dan dikendalikan oleh Bahagian Ragut dan Pembunuhan.
“Kami sedang menyusun garis masa kejadian dan meneliti bukti forensik dari lokasi,” katanya dipetik ABC News.

Nick Reiner sebelum ini dikenali kerana perjuangannya melawan ketagihan dadah. Ia menjadi inspirasi kepada filem Being Charlie arahan bapanya pada 2015.
Motif di sebalik pembunuhan tersebut masih belum didedahkan, namun pihak berkuasa memaklumkan waran geledah telah dikeluarkan dan beberapa ahli keluarga kini sedang disoal siasat.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak AS$4 juta (anggaran RM16.37 juta).
Rob Reiner, 78, dikenali sebagai pengarah di sebalik karya ikonik seperti When Harry Met Sally, A Few Good Men dan The Princess Bride.

Selain bergiat aktif dalam dunia perfileman, beliau juga dikenali sebagai aktivis politik vokal serta figura berpengaruh dalam industri hiburan AS. -Boom!









