Anak sulung pelakon Amyza Aznan, Andre Mikhail, 22, telah dipindahkan dari Hospital Ampang (HA) ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pembedahan membuang tumor.
Menurut Amyza, pemindahan itu dibuat kerana HKL mempunyai pakar yang lebih sesuai untuk merawat penyakit anaknya.
“Andre dipindahkan ke HKL tengah hari tadi. Saya diberitahu HA tiada doktor pakar dan pasukan khusus dalam merawat kanser dihidapi Andre.
“Andre perlu menjalani pembedahan membuang tumor secepat mungkin,” katanya menerusi mesej WhatsApp.
Sabtu lalu, Amyza berkongsi di media sosial bahawa anaknya disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga.
Dalam pada itu, Amyza turut lega apabila jadual penggambaran yang perlu dijayakannya ditunda buat sementara waktu.
“Penggambaran dihentikan buat sementara waktu kerana masalah produksi. Bagaimanapun, kerja bersambung pada 25 Februari ini,” katanya.
Amyza turut memohon doa orang ramai bagi kesembuhan anaknya. Semoga segala urusan anak Amyza dipermudahkan dan diberikan kesembuhan seperti sedia kala. – BOOM!
Sumber: Berita Harian