Selepas melalui perbicaraan kontroversi dengan bekas suaminya, Johnny Depp, Amber Heard kini memasuki fasa baru dalam hidupnya. Bukan sekadar berpindah ke Sepanyol bersama anak perempuannya, Oonagh Paige, tetapi dia juga mengambil langkah lebih drastik dengan menukar namanya kepada Martha Jane Cannary.
Langkah ini dilihat sebagai usaha Heard untuk melepaskan diri daripada perhatian yang tidak diingini. “Orang di Sepanyol kurang terobsesi dengan selebriti AS,” lapor KoiMoi, memberikan Heard peluang untuk menjalani kehidupan yang lebih normal selepas episod hitam dalam hidupnya.
Menurut TMZ, selepas menetap seketika di Mallorca, Heard akhirnya memilih Madrid sebagai rumah barunya iaitu sebuah kota yang menawarkan keseimbangan budaya, ketenangan, dan privasi. Kini, dia lebih fokus kepada peranan sebagai ibu, menikmati kehidupan sederhana bersama anaknya, termasuk berjalan-jalan di taman dan menghadiri festival tempatan.
Nampaknya, Amber Heard benar-benar ingin melupakan kisah silamnya dan memulakan hidup baru di Sepanyol, tetapi sejauh manakah dia mampu mengelak daripada perhatian dunia? – BOOM!









