Selepas hampir lima tahun tanpa album baharu, penyanyi pop terkenal Justin Bieber dilaporkan bakal melancarkan album terbaharunya bertajuk ‘Swag’ pada Jumaat, 11 Julai.
Menurut laporan The Hollywood Reporter, album tersebut akan diterbitkan oleh label muzik terkenal Def Jam Recordings. Namun sehingga kini, tiada pengesahan rasmi dikeluarkan oleh pihak Bieber mahupun Def Jam sendiri.

Walaupun begitu, berita ini sudah cukup mencetuskan kegilaan di media sosial!
Misteri mengenai album ini semakin menghangat apabila tular satu foto papan iklan yang dikongsi sendiri oleh Bieber, memaparkan senarai lagu yang dipercayai bakal dimuatkan dalam ‘Swag’.
Lebih menarik, album ini dikatakan menampilkan kolaborasi hebat bersama beberapa nama besar dalam industri muzik antarabangsa seperti Gunna, Sexyy Red dan Cash Cobain.
Sebelum ini, spekulasi mengenai penghasilan album ini mula timbul sejak tahun lalu, dan menurut laporan, Bieber turut melakukan perjalanan ke Iceland pada April lalu untuk melengkapkan sentuhan akhir terhadap projek muzik tersebut.
Penyanyi dan penulis lagu Jensen McRae juga sebelum ini memuat naik video jamming bersama Bieber, yang dipercayai berkaitan dengan album ‘Swag’.
Pada 10 Julai, penyanyi The Kid Laroi turut berkongsi satu Instagram Story yang dilihat sebagai isyarat pengesahan tidak langsung dari Bieber sendiri mengenai pelancaran album tersebut.

Jika semua maklumat ini tepat, ‘Swag’ dijangka akan dilancarkan sekitar pukul 10 malam waktu tempatan, sama ada pada Jumaat atau Sabtu ini. – BOOM!









