Pelakon terkenal Soffi Jikan dilaporkan dipindahkan ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor untuk menerima rawatan lanjut selepas mengalami jangkitan kuman pada bahagian jantung.
Perkembangan terkini itu dimaklumkan oleh rakannya, Hasyim, menerusi satu hantaran di TikTok.
@mrhasyim_JANGKITAN KUMAN PADA JANTUNG
“Jangkitan kuman pada jantung. Kemas kini 24 Ogos, Soffi Jikan dipindahkan ke Hospital Serdang.
Keadaan kesihatan terkini agak serius. Semoga cepat sembuh,” katanya.
Menurut Hasyim lagi, Soffi yang sinonim dengan trademark ‘sengat’ itu juga sering membuat siaran langsung di TikTok, dan orang ramai boleh memberi sokongan melalui sumbangan ‘gift’ jika berkemampuan.
Sementara itu, ruangan komen hantaran tersebut dibanjiri doa daripada netizen yang mendoakan agar Soffi segera pulih dan kembali aktif di layar perak.
“Semoga cepat sembuh, rindu nak lihat lakonannya,” tulis seorang pengguna.
Terdahulu, Soffi atau nama sebenarnya Mohammad Shoffi Jikan, 54, pernah mendedahkan bahawa beliau menerima rawatan akibat jangkitan kuman pada hati dan kini berdepan masalah pada jantung.
Difahamkan, pelakon ini telah dirawat di Hospital Sungai Buloh sejak Julai lalu selepas mengalami jangkitan kuman pada hati.
Beliau juga sebelum ini pernah dimasukkan ke hospital yang sama akibat dijangkiti kencing tikus dan demam denggi. – BOOM!










