Aktivis politik dan pempengaruh, Drew Pavlou melancarkan kempen kutipan dana untuk berpindah ke rumah agam Billie Eilish di Los Angeles susulan kenyataan berunsur politik penyanyi itu pada Anugerah Grammy baru-baru ini.

Beliau mengecam apa yang didakwa sebagai tindakan pengisyaratan murni (virtue signaling) oleh Billie susulan kenyataan anti-ICE yang dibuatnya selepas memenangi anugerah Lagu Terbaik pada majlis anugerah tahunan ke-68 itu.
“Saya akan terbang ke Amerika Syarikat Jumaat depan untuk cuba berpindah ke rumah agam Billie Eilish di tepi pantai di Malibu.
“Tiada manusia yang menyalahi undang-undang di tanah yang dicuri. Sokong kos perjalanan dan penggambaran saya di sini,” tulisnya di X.

Pavlou berkongsi bahawa platform berkenaan kemudian memadamkan pengumpulan dana asal selepas mengumpul AS$3,000 (RM12,000) untuk perjalanan tersebut.
Pavlou seterusnya menukar taktik dan mengumpul dana di laman baharu, GiveSendGo bagi meminta AS$2,840 (RM11,000) supaya boleh terbang ke California dan membeli rumah Malibu bernilai AS$6 juta (RM24 juta) milik penyanyi Birds of a Feather itu.

Bagaimanapun, nama pemilik hartanah itu sebenarnya adalah abang Eilish, Finneas O’Connel malah ia telah dijual pada 2022 serta musnah dalam kebakaran Palisades.

Billie dalam ucapannya di Crypto.com Arena di Los Angeles pada 1 Februari lalu berkata, tiada sesiapa yang menyalahi undang-undang di atas tanah yang dirampas.
“Walaupun saya rasa bersyukur, sejujurnya saya rasa saya tidak perlu mengatakan apa-apa, tetapi tiada sesiapa yang menyalahi undang-undang di tanah yang dicuri,” katanya dipetik New York Post.
Pavlou antara ribuan individu yang mengecam Eilish atas kenyataannya yang bersifat memecah-belahkan.
“Ini adalah pandangan yang amat radikal. Pada dasarnya, dia berhujah bahawa Amerika Syarikat wajar dimansuhkan kerana ia merupakan sebuah negara yang tidak sah akibat dosa penjajahan.
“Sungguh luar biasa melihat seluruh hadirin di Anugerah Grammy bangun memberikan tepukan sebagai tanda persetujuan,” katanya.– BOOM!










