Komposer dan penyanyi terkenal, Ajai akhirnya tampil memohon maaf secara terbuka selepas kenyataannya mengenai isu hak cipta dan royalti lagu kumpulan 4U2C mengundang kontroversi.
Menurut Ajai atau nama sebenarnya Mohamad Faizal Maas, 50, dia tidak berniat menyinggung mana-mana pihak dengan kenyataan yang dibuat sebelum ini.
Permohonan maaf itu dikongsi menerusi satu hantaran di Instagram semalam.
“Sekiranya kenyataan saya telah disalah tafsir atau menyinggung mana-mana pihak, saya mohon maaf.
Kenyataan itu bukan bertujuan untuk menghalang sesiapa daripada terus berkarya,” jelas Ajai.
Tambahnya lagi, beliau sentiasa menyokong usaha semua artis untuk terus menghasilkan karya yang baik dan berharap kemelut yang tercetus dapat diselesaikan secara damai.
“Saya menyokong usaha mana-mana artis untuk terus berkarya, dan berharap segala perkara dapat diselesaikan secara baik dan berhemah.
Terima kasih,” tulisnya lagi.
Permohonan maaf itu hadir susulan tuntutan kumpulan 4U2C dalam satu sidang media, yang menggesa Ajai memohon maaf dalam tempoh 24 jam berikutan dakwaan kenyataannya tidak berasas berhubung konsert We 4U2C Live In Concert yang bakal berlangsung September ini.
Sebelum ini, komposer Man Senoi juga dilaporkan mahu mengambil tindakan terhadap kumpulan berkenaan sekiranya lagu ciptaannya dinyanyikan tanpa kebenaran.
Ajai sebelum ini turut menyatakan bahawa 4U2C tidak wajar meneruskan konsert sekiranya isu hak cipta belum diselesaikan, namun kenyataan itu didakwa mengelirukan pembeli tiket.
Dalam kenyataan terbaharu mereka, 4U2C menegaskan konsert tetap akan diteruskan tanpa perlu mendapatkan sebarang kebenaran daripada mana-mana pihak berkaitan hak cipta lagu yang dipersembahkan. – BOOM!









