Penyanyi Aisha Retno tidak dapat menyembunyikan perasaannya apabila berpeluang bertemu bintang antarabangsa, Ariana Grande dan Cynthia Erivo sempena tayangan perdana Wicked: For Good di Universal Studios Singapore, semalam.

Aisha yang gembira mewakili Malaysia meluahkan rasa syukur dan bangga atas pengalaman yang menjadi momen bersejarah buatnya.
“Terharu mewakili Malaysia untuk tayangan perdana filem Wicked, saya sayang kamu Ari, saya sayang kamu Cynthia. Saya benar-benar telah berubah ke arah yang lebih baik kerana kedua-dua insan luar biasa ini. Alhamdulillah kepada Allah Yang Maha Esa, lama menjadi peminat kedua-duanya. Terima kasih @uipmalaysia atas peluang emas ini. Glinda dubber Malaysia hadir!,” katanya di instagram.

Dalam video yang dikongsi, Aisha menyanyikan lagu daripada runut bunyi Wicked bersama Ariana dan Cynthia.
Momen paling menyentuh hati adalah apabila Aisha menghadiahkan kain batik kepada kedua-dua artis itu sebagai tanda penghargaan daripada Malaysia.
Pertemuan itu menjadi kenangan tidak ternilai buat Aisha, yang telah lama meminati Ariana dan Cynthia.
Aisha sebelum ini dipilih sebagai penyumbang suara watak Glinda dalam versi alih suara Bahasa Melayu bagi filem Wicked. –Boom!









