JYP Entertainment, agensi yang mewakili kumpulan K-Pop popular Stray Kids, mengumumkan tindakan undang-undang tegas terhadap individu yang menyebarkan fitnah dan membuat komen berunsur jahat terhadap artis mereka.
Dalam kenyataan rasmi pada 19 Ogos (KST), JYP menegaskan pihaknya telah memfailkan aduan jenayah selepas mengumpul bukti mengenai hantaran berunsur fitnah, penyebaran maklumat palsu serta kecaman melampau yang menjejaskan reputasi artis.

“Kami akan memberikan kerjasama penuh dengan pihak berkuasa dan akan meneruskan tindakan undang-undang sivil serta jenayah yang ketat.
Tiada sebarang kelonggaran atau penyelesaian ditawarkan sepanjang proses ini,” jelas pihak agensi.
JYP turut menambah bahawa mereka akan terus memantau situasi dan bertindak terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu hak serta aktiviti Stray Kids, termasuk dengan memfailkan saman tambahan jika perlu.
Langkah drastik ini jelas menunjukkan keseriusan JYP dalam melindungi artis mereka daripada serangan siber dan memastikan Stray Kids dapat terus berkarya dengan lebih stabil tanpa gangguan. – BOOM!









