Penerbit dan komposer terkenal, Datuk Norman Abdul Halim mendedahkan pemilihan Adira Suhaimi dan Shahir Zawawi sebagai penyanyi runut bunyi (OST) sekuel filem Duyung dibuat berdasarkan kemampuan vokal mantap dimiliki mereka.

Beliau berkata, kolaborasi itu dipermudahkan kerana kedua-duanya juga merupakan bekas anak didiknya dalam program Akademi Fantasia 8 (AF8).
“Lagu Hanya Kamu menuntut paduan vokal duet yang mantap untuk menghidupkan emosi dramatik dalam Duyung: Legenda Aurora, Individu pertama terlintas di fikiran saya ialah Adira, memandangkan reputasinya sebagai Ratu OST (runut bunyi). Dari situlah timbulnya idea untuk menggandingkannya dengan Shahir, kerana kedua-dua mereka merupakan bekas anak didik saya di AF kira-kira 15 tahun yang lalu,” kata Norman kepada Boom!
Lagu itu menandakan kolaborasi pertama mereka sejak AF8 berakhir pada 2010.

Adira pula berkongsi keterujaan kerana berpeluang berduet semula dengan Shahir selepas tujuh tahun, mengimbau nostalgia AF dan kerjasama lama mereka.
“Kali terakhir saya bertemu Shahir ialah tujuh tahun lalu, dan kami tidak pernah berduet bersama kecuali ketika pertandingan AF. Saya benar-benar tidak sangka mendapat peluang ini, dan ia semestinya mengembalikan nostalgia,” katanya.

Shahir berasa teruja kerana dapat menyanyikan lagu menyentuh hati dalam genre R&B baharu yang belum pernah dicuba sebelum ini.
“Lagu dan lirik Hanya Kamu sangat menyentuh hati, dan saya amat teruja dapat menyanyikannya dalam genre R&B yang belum pernah saya cuba sebelum ini,” katanya.

Duyung: Legenda Aurora, yang dibintangi Anna Jobling, Maya Karin, dan Saiful Apek itu mendapat arahan Prof Datuk Dr A Razak Mohaideen.
Filem berkenaan dijadualkan menjengah pawagam di pawagam seluruh negara pada 25 Disember ini.
Menurut Norman, lagu diedarkan oleh Sony Music itu boleh distrim di semua platform digital mulai hari ini manakala video muzik rasmi akan ditayangkan di YouTube KRU Music pada jam 8.00 malam nanti.
“Sukacita dimaklumkan bahawa Hanya Kamu, nyanyian Adira dan Shahir dilancarkan secara rasmi di semua platform penstriman utama. Kami berharap agar pihak Tuan/Puan dapat menyiarkan berita mengenai pelancaran lagu ini. Sekiranya Tuan/Puan berminat untuk mengatur sesi temu bual bersama para artis atau penerbit dan komposer lagu ini secara eksklusif, sila maklumkan kepada kami. Semoga kerjasama antara kita akan terus diperkukuhkan pada masa hadapan. Sekian, terima kasih,” katanya. – Boom!
Kenyataan media dan karya seni (“artwork”) boleh dirujuk melalui pautan berikut: HANYA KAMU – PRINT MEDIA – Google Drive
Pautan YouTube Music bagi lagu ini adalah seperti berikut: Hanya Kamu -Boom!









