Jenama pencuci mulut tempatan yang sedang mencuri perhatian, Kunafa Aiwahhh, membuat kejutan apabila melantik Datuk Seri Aliff Syukri bersama keluarga sebagai duta sempena pelancaran perisa baharu, Kunafa Mangga Lima.
Menurut pengarah Aiwahhh Global Sdn. Bhd. merangkap pempengaruh popular, Ojen Aiwahhh atau nama sebenarnya Mohd Ruzain Ahda, pemilihan Aliff Syukri sangat tepat kerana figura itu cukup sinonim dengan produk mangga.

“Aliff Syukri popular dengan jeruk mangga, jadi gandingan dengan Kunafa Mangga Lima sangat serasi. Malah, idea keluarkan perisa mangga ini datang daripada dia sendiri,” jelas Ojen.
Namun, bukan mudah untuk meyakinkan jutawan kosmetik itu.
“Aliff Syukri sekeluarga adalah duta paling mahal pernah saya bayar. Tapi beliau komited seratus peratus.
Malah, syarat pertama dia ialah produk mesti lulus tekak dia dulu,” katanya.
Aliff Syukri pula mengakui hanya menerima tawaran kerana yakin dengan kualiti serta bayaran yang lumayan.
“Saya rasa tiada siapa mampu bayar saya jadi duta produk kecuali Ojen. Saya sendiri sudah kaya raya, jadi kerja tetap kerja. Kunafa Mangga Lima sedap, bayaran pun sedap,” katanya berseloroh.
Tambahnya lagi, kolaborasi ini menguntungkan kedua-dua pihak.
“Pengikut saya ramai usia 40-an ke atas, manakala pengikut Ojen pula Gen Z.
Jadi kami saling menumpang populariti,” tambahnya lagi.
Menariknya, kerjasama ini turut menampilkan isteri beliau, Datin Seri Shahida dan anak-anak mereka.

Kunafa Mangga Lima, hasil gabungan mangga segar, delima, daun pudina, safron dan keju, kini ditawarkan pada harga RM45 dan boleh didapati di Havoc Food Festival, Stadium Shah Alam sehingga 31 Ogos ini. – BOOM!









