Selepas dua tahun menyulam cinta, penyanyi terkenal Taylor Swift akhirnya sah mengikat tali pertunangan dengan pemain bola sepak Amerika, Travis Kelce.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri Taylor, 36, di Instagram miliknya dengan kapsyen manis.
“Cikgu Bahasa Inggeris dan Cikgu Pendidikan Jasmani anda sudah mahu berkahwin,” tulisnya.
Dalam hantaran tersebut, pelantun lagu Love Story itu turut memuat naik beberapa foto sekitar majlis lamaran romantik di sebuah taman.
Pasangan ini tampil sedondon dengan busana biru, sementara Travis kelihatan melutut sebelum menyarungkan cincin pertunangan ke jari manis Taylor.
Lebih menarik, cincin istimewa itu direka khas oleh Travis bersama pereka barang kemas terkenal, Kindred Lubeck.
Nilainya dianggarkan mencecah antara RM527,800 hingga RM21 juta, bergantung kepada kualiti berlian.

Menurut laporan antarabangsa, majlis lamaran tersebut sebenarnya telah berlangsung beberapa minggu lebih awal sebelum pengumuman rasmi dibuat.
Untuk rekod, Taylor dan Travis mula menjalinkan hubungan cinta sejak September 2023, selepas penyanyi itu berpisah dengan aktor Joe Alwyn. – BOOM!
Sumber: Instagram Taylor Swift










