Peminat Beyoncé dikejutkan dengan kemunculan semula Destiny’s Child buat pertama kali dalam tempoh tujuh tahun semasa konsert penutup jelajah Cowboy Carter di Las Vegas, Sabtu lalu.
Trio ikonik itu iaitu Beyoncé, Kelly Rowland dan Michelle Williams muncul penuh gaya dalam persalinan jumpsuit keemasan dan menghiburkan puluhan ribu penonton dengan medley lagu hits seperti “Lose My Breath” dan “Bootylicious“.

Lebih menarik, mereka turut membawakan lagu “Energy“, single popular Beyoncé yang dilancarkan pada 2022.
Kemunculan Destiny’s Child ini menjadi simbolik dan penuh nostalgia, mengingatkan peminat kepada era kegemilangan mereka sebelum berpisah pada tahun 2006.
Sebelum ini, mereka pernah bersatu kembali di pentas Super Bowl 2013 dan semasa persembahan epik Beyoncé di Coachella 2018.
Konsert akhir itu turut diserikan dengan kehadiran suami Beyoncé, Jay-Z, penyanyi country Shaboozey, dan anak perempuan mereka, Blue Ivy, yang sudah menjadi sebahagian daripada jelajah ini sejak awal.
Konsert Cowboy Carter, yang berlangsung selama tiga jam, telah diadakan sebanyak 32 kali di beberapa lokasi termasuk Houston, Texas, dan berjaya mencatat rekod tiket di Tottenham Hotspur Stadium, London serta Stade De France, Paris.
Jelajah ini diambil sempena album Cowboy Carter (2024) yang memenangi Album Terbaik di Grammy Awards tahun ini. – BOOM!









