Isu sensitiviti agama dan budaya di Malaysia sekali lagi menjadi bualan apabila kumpulan K-Pop popular, NCT Wish mengumumkan konsert pertama mereka di Malaysia menerusi jelajah ‘INTO THE WISH : Our WISH’ yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 7 Mac 2026.
Namun, pengumuman itu menerima kecaman ramai peminat tempatan apabila tarikh konsert berkenaan dikatakan jatuh dalam bulan Ramadan tahun hadapan.

Rata-rata netizen mempersoalkan keputusan pihak penganjur yang dianggap tidak peka dengan sensitiviti masyarakat beragama Islam di negara ini.
“Macam mana boleh terfikir nak buat konsert masa bulan puasa?
Tukar tarikh lah,” antara komen netizen.

Sehingga kini, pihak penganjur belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas mengenai tuntutan peminat yang mahu tarikh konsert tersebut dipertimbangkan semula.
Sebagai info, NCT Wish merupakan sub-unit terakhir dan juga unit Jepun bagi kumpulan terkenal Korea Selatan, NCT di bawah agensi SM Entertainment.
Kumpulan ini dianggotai oleh enam ahli iaitu Sion, Riku, Yushi, Jaehee, Ryo dan Sakuya.
Mereka memulakan debut menerusi lagu “Hands Up” pada Oktober 2023 dan pada tahun 2024, telah diiktiraf oleh pihak Grammy di Amerika Syarikat sebagai antara “11 Rookie K-Pop Acts to Know in 2024”.

Masih baru dalam industri hiburan, NCT Wish kini bersedia memulakan konsert jelajah Asia pertama mereka. – BOOM!









