Selepas hampir sedekad menjalin hubungan cinta, penyanyi pop terkenal Katy Perry dan pelakon Pirates of the Caribbean, Orlando Bloom akhirnya mengesahkan perpisahan mereka.
Menerusi kenyataan rasmi wakil pasangan itu kepada People, Katy dan Orlando memutuskan untuk memberi tumpuan penuh terhadap anak perempuan mereka, Daisy Dove, yang kini berusia empat setengah tahun.

“Disebabkan banyaknya perhatian dan spekulasi kebelakangan ini,
kami sahkan bahawa Orlando dan Katy sedang mengubah bentuk hubungan mereka sejak beberapa bulan lalu untuk fokus kepada co-parenting,” jelas kenyataan itu.
Tambah wakil mereka, meskipun tidak lagi bersama sebagai pasangan, kedua-duanya akan terus kelihatan bersama atas kapasiti keluarga.
Pasangan ini mula berkenalan di sebuah parti Golden Globes pada tahun 2016 sebelum menjalin hubungan serius dan bertunang pada Hari Valentine 2019.
Mereka dikurniakan seorang anak, Daisy Dove, pada Ogos 2020.
Sebelum ini, perkahwinan mereka yang dirancang berlangsung di Jepun pada 2020 terpaksa ditangguhkan akibat pandemik.
Katy turut dilihat beremosi di atas pentas ketika konsert Lifetimes di Adelaide, Australia baru-baru ini. – BOOM!









