Hubungan silam antara Maia Estianty dan Ahmad Dhani kembali menjadi perbualan hangat selepas perkahwinan anak mereka, Al Ghazali dan Alyssa Daguise.
Terbaharu, ibu bapa Maia tampil mendedahkan sebab mereka tidak pernah merestui perkahwinan itu sejak awal.

Menurut ibunya, Kusthini, dia sudah berasa tidak sedap hati sejak Maia memutuskan untuk berkahwin dengan Ahmad Dhani pada tahun 1996, meskipun keluarga menentang keputusan tersebut.
“Saya yang paling marah waktu dia pilih pasangan.
Kami memang tak setuju, tapi itu sudah rencana Tuhan.
Dari awal hati ini dah rasa tak tenang,” jelas Kusthini, seperti dipetik dari Kompas.com.
Bapa Maia, Harjono Sigit turut berkongsi rasa yang sama, mengakui dia juga sudah berasa tidak sedap hati sejak awal perkahwinan anaknya.
“Waktu dia kahwin pertama kali, saya memang dah rasa tak sedap hati,” katanya ringkas.
Pasangan itu akhirnya bercerai secara rasmi pada 23 September 2008. Dalam menghadapi pergolakan rumah tangga anak mereka, Kusthini berkata dia sering menenangkan suaminya agar reda menerima takdir.
Maia juga kemudian mengakui bahawa perkahwinannya dengan Ahmad Dhani berlangsung tanpa restu ibu bapanya.

“Saya baru sedar pentingnya restu ibu.
Hidup saya hancur waktu kahwin pertama tu sebab saya tak dapat restu ibu bapa,” katanya jujur.
Dalam satu episod Indonesian Idol 2018, Maia turut mengesahkan bahawa lagu “Cukup Siti Nurbaya” ciptaan Ahmad Dhani sebenarnya ditujukan kepada ibunya yang menentang hubungan mereka ketika itu. – BOOM!









