Penyanyi Korea Selatan, Ju Hak Nyeon akhirnya boleh menarik nafas lega apabila pihak polis memutuskan untuk menggugurkan siasatan terhadap dakwaan yang mengaitkannya dengan aktiviti pelacuran.
Menurut laporan dari Balai Polis Gangnam, Korea Selatan, siasatan tidak dapat diteruskan kerana tiada bukti yang mencukupi bagi menyokong dakwaan yang dibuat terhadap bekas anggota kumpulan The Boyz itu.
Kes ini pada asalnya tercetus apabila satu petisyen awam mendakwa Hak Nyeon membayar sejumlah wang kepada pelakon filem dewasa dari Jepun, Asuka Kirara, kononnya bagi tujuan melakukan hubungan intim.
Dakwaan itu turut diperkukuhkan oleh laporan media dan video yang tersebar di media sosial.
Namun selepas siasatan dijalankan, pihak polis mendapati semua tuduhan tersebut tidak berasas dan tidak mempunyai bukti kukuh untuk mendakwanya.
Hak Nyeon sebelum ini telah tampil menafikan penglibatannya dalam aktiviti tersebut, namun mengakui bahawa dia pernah bertemu dengan Asuka Kirara.
Disebabkan kontroversi itu, nama Hak Nyeon telah digugurkan daripada kumpulan The Boyz, sekaligus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat. – BOOM!










