Fenomena Squid Game terus menggegarkan dunia. Musim ketiga dan terakhir siri Korea popular ini mencatat sejarah apabila meraih 60.1 juta tontonan hanya dalam tiga hari pertama tayangan di Netflix, sekali gus menjadi tayangan bukan berbahasa Inggeris paling tinggi pernah direkodkan dalam tempoh tiga hari oleh platform itu.
Menurut laporan Variety, kejayaan luar biasa ini dicapai walaupun episod baharu hanya mula ditayangkan pada hari Jumaat lalu, memberi tempoh tiga hari sahaja untuk dikira dalam carta mingguan Netflix (Isnin hingga Ahad).
Sebagai perbandingan, Musim Kedua yang ditayangkan pada hari Khamis (26 Disember) mempunyai empat hari untuk mengumpul tontonan, dan tetap berjaya mencatat 68 juta tontonan dalam minggu pertama, memecahkan rekod sebelum ini yang dipegang oleh siri Wednesday (50.1 juta tontonan).
Menariknya, musim ini telah pun melonjak ke carta teratas dan berpotensi mencatat angka yang lebih luar biasa dalam minggu-minggu mendatang.
Sejak dilancarkan pada tahun 2021, Squid Game kekal sebagai siri paling banyak ditonton sepanjang zaman di Netflix, dengan 16.5 bilion jam tontonan dalam 28 hari pertama.
Fenomena ini turut melahirkan rancangan realiti Squid Game: The Challenge dan mengubah lanskap kandungan Korea di platform penstriman global. – BOOM!









