Band fenomena Indonesia, Peterpan, bakal kembali menghiasi pentas muzik selepas lebih satu dekad menyepi dengan penganjuran Konsert The Journey Continues yang dijadual berlangsung pada 31 Ogos ini di Bandung, Indonesia.
Pengumuman rasmi oleh penganjur, Aloka.id, menerusi Instagram telah mencetus keterujaan dalam kalangan peminat setia mereka yang digelar Sahabat Peterpan.
“Nama itu pernah mengisi harimu dan lagu-lagunya tetap abadi di ingatan.
Kini, sebuah perjalanan dimulai kembali,” tulis Aloka.id dalam hantaran mereka.
Konsert tersebut disifatkan sebagai detik penuh nostalgia buat peminat yang merindui karya-karya ikonik seperti Topeng, Ada Apa Denganmu dan Menghapus Jejakmu.
Walaupun butiran mengenai barisan penuh anggota belum diumumkan, ramai yakin ia bakal menjadi ‘comeback’ emosional yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama.
Peterpan, yang ditubuhkan pada awal 2000-an, pernah mencatat penjualan lebih 9 juta unit album, menjadikan mereka antara band paling berpengaruh di Asia Tenggara ketika itu.
Namun pada tahun 2012, kumpulan ini secara rasmi menukar nama kepada Noah selepas isu hak cipta terhadap nama Peterpan yang dimiliki dua bekas ahli, Andika dan Indra.
Sejak itu, Peterpan dianggap ‘berakhir’ secara rasmi dari segi nama, walaupun roh muzik mereka terus hidup menerusi Noah.
Peterpan asal dibarisi oleh Ariel (vokal), Andika (piano), Indra (bes), Lukman (gitar kedua), Reza (dram) dan Uki (gitar utama).
Kini dengan pengumuman konsert ini, peminat menaruh harapan besar untuk menyaksikan momen bersejarah yang mungkin menyatukan semula kesemua anggota asal di atas satu pentas. – BOOM!










