Usahawan dan pempengaruh media sosial, Kim Seri atau Seri Azlina, 39, mula mengambil langkah tanggungjawab dengan memulakan proses pembayaran semula kepada pelanggan yang terkesan susulan pembatalan trip ke Korea Selatan sebelum ini.
Menerusi Instagram Story, Kim Seri berkongsi beberapa tangkapan skrin bukti bayaran balik yang menunjukkan transaksi awal sebanyak RM300 seorang kepada tiga pelanggan secara berperingkat sehingga keseluruhan jumlah diselesaikan.

Tindakan ini sekaligus menepis dakwaan kononnya beliau melarikan diri selepas isu pembatalan pakej pelancongan ke Seoul kendaliannya tular dan mengundang kecaman ramai.
Tindakan proaktif Kim Seri ini dilihat sebagai usaha untuk memulihkan kepercayaan serta menyelesaikan kemelut membabitkan ramai pelanggan yang sudah membuat bayaran penuh.
Terdahulu, polis mengesahkan menerima 24 laporan daripada individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan dikendalikan pempengaruh itu, membabitkan jumlah kerugian mencecah RM454,450.
Pada 17 Disember lalu, Kim Seri tampil memohon maaf kepada semua pelanggan yang terkesan dan berjanji akan membuat bayaran semula selewat-lewatnya pada 1 Februari 2025.
Namun, sebahagian mangsa mendakwa mereka masih belum menerima wang seperti dijanjikan. – BOOM!








