Pemilik perniagaan manisan popular, Suka Dessert, akhirnya tampil memberi penjelasan selepas dikecam berikutan pendedahan kedainya belum mempunyai sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Siti Hajar Mohd Razali atau lebih dikenali sebagai Auntie Ja mengakui kekhilafannya kerana tidak mengutamakan permohonan sijil halal sejak mula beroperasi hampir enam tahun lalu.
“Saya terlalu fokus kepada pelaburan seperti pembelian mesin, kursus staf dan pengubahsuaian kedai sehingga terlepas pandang soal sijil halal. Itu silap saya,” jelasnya menerusi kenyataan di media sosial.
Menurutnya, semua bahan yang digunakan termasuk produk tenusu dan bukan tenusu adalah import dan memiliki sijil halal antarabangsa yang diiktiraf oleh JAKIM.
Auntie Ja turut menegaskan bahawa pihaknya sudah mula mengambil langkah serius untuk memohon sijil halal dengan segera demi menjamin kepercayaan pelanggan.
Menjawab dakwaan berkaitan produk pastri pula, Auntie Ja menjelaskan bahawa semua croissant dan New York croissant dibekalkan oleh Enchante Patisserie iaitu syarikat milik seorang usahawan Melayu Islam, Encik Nazrul, manakala Chef Tan yang mengendalikan produksi merupakan Juara Dunia Pastri 2019.
“Semua bahan mereka adalah halal dan diiktiraf JAKIM.
Malah, mereka juga dalam proses permohonan sijil halal.
Pekerja mereka juga sangat menjaga kebersihan,” katanya.
Namun begitu, demi menjaga reputasi kedua-dua pihak, Auntie Ja mengambil keputusan untuk menghentikan serta-merta pengambilan pastri daripada pembekal itu.
“Saya bertanggungjawab atas segala kekhilafan.
Doakan urusan halal kami dipermudahkan,” tambahnya.
Terdahulu, tular video di media sosial yang mendakwa Suka Dessert tidak memiliki sijil halal, sekaligus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelanggan Muslim. – BOOM!








