Pelakon popular, Datin Intan Najuwa tampil menyuarakan sokongan terhadap para ibu yang berkongsi pengalaman penyusuan susu ibu di media sosial.
Menurut Intan, 28, perkongsian seperti itu sangat berguna khususnya kepada wanita yang baru bergelar ibu sepertinya.

“Ibu-ibu! Kongsi sahaja perjalanan dan cerita anda, sebarkan kesedaran.
Tidak salah pun memuat naik tentang penyusuan atau susu ibu,” ujarnya.
Tambah Intan, dia sendiri banyak belajar melalui perkongsian orang lain dalam media sosial dan menganggap ia sangat memudahkan proses memahami dunia keibuan.
Dalam masa sama, ibu kepada Imane Lunara itu meluahkan rasa kecewa apabila melihat wanita sendiri yang sering menghakimi ibu lain di atas perkongsian mereka.

“Biarkan semua ibu di luar sana gembira dan berkongsi apa sahaja yang mereka inginkan tanpa dihakimi.
Secara jujur, sangat sedih melihat kaum wanita sendiri yang melemparkan kecaman dan menghukum,” luahnya.
Perkongsian Intan itu di aplikasi Thread mendapat sokongan ramai netizen yang turut bersetuju bahawa penyusuan adalah satu topik penting yang patut dinormalisasikan dalam media sosial tanpa prejudis. – BOOM!








