Pelakon terkenal Blake Lively meraikan kemenangan besar apabila saman balas bernilai AS$400 juta (sekitar RM1.88 bilion) yang difailkan oleh Justin Baldoni terhadapnya, suami Ryan Reynolds dan akhbar The New York Times ditolak oleh mahkamah.
Lebih mengejutkan, saman asal Baldoni yang mencecah AS$650 juta turut ditolak, menamatkan pertempuran undang-undang berprofil tinggi melibatkan tuduhan fitnah dan pemerasan berkait dengan filem It Ends With Us.

Blake, 37, meluahkan rasa lega dan syukur melalui Instagram Stories, sambil berkongsi beberapa pertubuhan yang aktif memperjuangkan hak wanita.
“Minggu lalu, saya berdiri bersama 19 organisasi mempertahankan hak wanita untuk bersuara demi keselamatan mereka.
Seperti ramai yang lain, saya juga merasai peritnya disaman balas termasuk rasa malu yang direka untuk mematahkan semangat kami,” ujarnya.
Senarai organisasi yang dikongsi termasuk California Women’s Law Center, CHILD USA dan Equal Rights Advocates yang berperanan dalam memberi perlindungan kepada mangsa gangguan.

Sementara itu, peguam Blake menyifatkan keputusan itu sebagai satu “kemenangan penuh dan pembelaan sepenuhnya” terhadap anak guam mereka, Ryan Reynolds serta pihak lain yang turut dinamakan dalam saman oleh Baldoni.
Dalam dokumen rasmi mahkamah yang diperoleh People, Hakim Lewis J. Liman menyatakan kenyataan yang dibuat oleh Blake dalam aduannya kepada CRD adalah dilindungi dan tidak boleh dianggap sebagai fitnah.
Kes ini dianggap sebagai tamparan hebat buat Baldoni dan produksi Wayfarer miliknya yang berusaha menyaman figura popular Hollywood atas tuduhan merosakkan reputasi mereka.
Blake turut menyatakan bahawa walaupun dirinya menang, ramai wanita lain tidak mempunyai sumber untuk melawan. – BOOM!








