Penyanyi Ronnie Hussein, 44, menafikan dakwaan kononnya dia meninggalkan kumpulan Hyper Act pada tahun 2015 kerana bergaduh dengan anggota kumpulan tersebut.
Menurut laporan Berita Harian, keputusan Ronnie untuk keluar daripada kumpulan itu dibuat atas faktor isu pengurusan semata-mata, bukannya disebabkan perselisihan antara ahli kumpulan.

Beliau menjelaskan bahawa hubungannya dengan anggota Hyper Act masih baik dan mereka juga pernah bekerjasama dalam sebuah konsert tahun lalu.
Katanya, pengurusan lama yang mengendalikan Hyper Act ketika itu menjadi punca utama beliau mengambil langkah untuk bergerak secara solo.
Namun apabila pengurusan tersebut tidak lagi bersama kumpulan itu, semuanya kembali seperti biasa.
Dalam pada itu, bintang Gegar Vaganza 11 (GV11) itu turut menegaskan bahawa dia tidak serik menyertai mana-mana band, malah terbuka untuk menjalinkan kerjasama baharu jika ada peluang yang sesuai.
Ronnie turut menyatakan bahawa beliau tidak menolak kemungkinan untuk kembali bergabung dengan Hyper Act pada masa hadapan atau membentuk band baharu.
Ronnie berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sidang media Konsert Dadali ‘Sebuah Kisah’ Volume 1 Live in Kuala Lumpur 2025, hari ini. – BOOM!










