Walaupun sudah hampir dua tahun berpisah, penyanyi terkenal Joe Jonas dan bekas isterinya, pelakon Sophie Turner, membuktikan bahawa mereka mampu bekerjasama demi kebahagiaan anak-anak mereka.
Dalam sesi On Purpose Live Tour bersama Jay Shetty di Hollywood baru-baru ini, Joe meluahkan rasa syukur kerana hubungan coparenting mereka berjalan dengan baik.
Joe Jonas talking his kids and co parenting with Sophie Turner https://t.co/xllj8SraCK pic.twitter.com/1yTczqN0EB
— hq believes in love (@cupofjoehq) May 25, 2025
“Saya ada hubungan coparenting yang sangat indah, dan saya sangat bersyukur.
Memiliki seorang ibu yang hebat seperti Sophie untuk anak-anak kami ibarat impian menjadi nyata,” jelas Joe.
Pasangan ini berkahwin pada tahun 2019 sebelum berpisah secara rasmi pada September 2023. Mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Willa (4 tahun) dan Delphine (2 tahun). Walaupun pernah berdepan perebutan hak penjagaan, mereka berjaya mencapai kata sepakat sebulan selepas bercerai.
Joe turut berkongsi harapannya agar anak-anak mereka membesar dengan dikelilingi wanita hebat.
“Saya mahu mereka menjadi terbuka dan berhati besar.
Masuk ke mana-mana ruang dengan keyakinan dan tahu bahawa mereka boleh lakukan apa saja yang mereka mahu,” ujarnya.

Namun, berkaitan dunia hiburan, Joe berseloroh bahawa mereka mungkin akan tunggu sedikit masa jika anak-anak ingin ceburi bidang tersebut.
Sementara itu, Sophie dalam temu bual bersama British Vogue (Mei 2024) turut memuji Joe sebagai bapa yang bertanggungjawab.
“Mereka (anak-anak) adalah mangsa dalam semua ini. Tapi saya yakin kami buat yang terbaik.
Joe seorang ayah yang hebat dan itu sahaja yang saya perlukan,” ujar Sophie.
Malah, Sophie juga baru-baru ini memberi sokongan terbuka terhadap muzik solo terbaru Joe. – BOOM!









